Kebaikan dan keburukan institusi politik dalam pemerintahan Malaysia

Kebaikan dan keburukan institusi politik dalam pemerintahan Malaysia.


Kewujudan institusi politik memberikan kebaikan-kebaikan tertentu dalam pemerintahan Malaysia. Dengan adanya tiga institusi ini dan terdapat pengasingan kuasa, maka wujudlah apa yang dikatakan check and balance dalam sistem dan pemerintahan negara. Walaubagaimanapun unsur-unsur keburukan tidak boleh dinafikan kewujudannya.

  • Kebaikan institusi politik.


Bila membicarakan tentang institusi politik kita tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai teori pengasingan kuasa. Teori ini timbul kerana kewujudan idea kebebasan rakyat jelata terutamanya dalam memilih pemerintahan dan mempertanggungjawabkan pemerintah. Kebebasan politik dipercayai hanya akan wujud jika pemerintah dapat dikawal dan dihadkan dari segi bidang kuasanya.

Teori ini bolehlah dikatakan sebagai doktrin tentang kerajaan berperlembagaan yang mengasingkan kuasa antara tiga badan ini supaya fungsi kuasa tidak tertumpu kepada seseorang individu atau satu-satu badan sahaja. Doktrin ini dilihat sebagai satu bentuk sistem politik yang dapat menjamin keadilan kepada rakyat jelata dan dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa. Setiap badan yang tersebut di atas menjalankan fungsi mengikut bidang kuasa masing-masing. Setiap badan mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Ia juga mestilah berbeza di antara satu sama lain.

Sebagaimana kata Montesquieu,

“ constant experience shows that every man invested with power is apt to abuse it, and to carry his authority until he is confronted with limits”.
                                                                                                (Montesguieu :1949 :150)

Sebenarnya ramai sarjana sains politik yang bersetuju dengan saranan Montesquieu kerana apabila kuasa dipegang oleh seseorang akan terjadi akibat yang buruk seperti penyalahangunaan kuasa dan pemerintahan bergerak menuju tirani. Teori Montesquieu adalah mewujudkan sistem pengawalan dan perseimbangan kuasa supaya setiap badan mempunyai pengaruh untuk menahan badan yang lain.

Apabila ketiga badan ini diasingkan maka mudahlah bagi rakyat melihat kelemahan setiap badan tersebut. Rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan mendesak sekiranya mereka melihat adanya kelemahan dalam mana-mana badan tersebut. Inilah yang terjadi di Malaysia pada tahun 1998 apabila kerajaan di bawah kepimpinan Dr. Mahathir meneruskan pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim atas kesalahan penyalahangunaan kuasa. Ia juga telah menjalar ke era pemerintahan Najib sekarang dimana pelbagai pendakwaan dikenakan ke atas Anwar. Rakyat melihat ada kelemahan dalam badan legislatif dan badan eksekutif. Adanya unsur campurtangan kedua-dua badan ini dalam badan kehakiman. Ketidakpuasan hati rakyat diterjemahkan melalui reformasi jalanan dan undi dalam pilihanraya umum 1999 serta pada pilihanraya ke 13 dimana undi UMNO/BN semakin berkurangan.

Melalui konsep pengasingan kuasa, kepentingan rakyat jelata adalah terjamin kerana kuasa pemerintahan negara dipilih oleh rakyat. Kepentingan rakyat terjamin kerana dalam hal penyerahan kuasa ianya tidak disalurkan kepada hanya satu badan atau individu sahaja tetapi kuasa diserahkan kepada tiga badan yang berasingan. Badan-badan ini ada skop kuasa yang akan diimbangi antara satu sama lain.

Walaupun corak pengasingan kuasa di Malaysia tidak mutlak tetapi dari konsep inilah wujudnya sistem kawal mengawal dan perimbangan kuasa dalam negara. Pemerintah dapat dikawal daripada bertindak kasar terhadap negara dan kebebasan rakyat dapat dijamin. Proses saling mengawal antara satu kuasa dengan kuasa yang lain dapat diimbangi. Tidak ada satupun badan yang lebih berkuasa dan berupaya mengatasi kuasa badan yang lain.

  • Keburukan.


Pada hakikatnya memang benar, ketiga-tiga institusi ini diasingkan dari segi keahliannya. Namun di Malaysia hakikat ini tidaklah benar kerana ahli badan eksekutif dan badan legislatif terdiri dari orang yang sama. Keadaan ini bertentangan dengan konsep pengasingan kuasa kerana gabungan ahli kedua badan terdiri dari orang yang sama, ia dinamakan sebagai konsep pencantuman kuasa.

Ekoran dari pencantuman kuasa antara badan eksekutif dan legislatif, sesuatu usul yang dikemukakan di parlimen  untuk dibahaskan akan menjadi dasar yang perlu diamalkan. Walaupun dasar tersebut tidak begitu popular dan kurang disenangi di kalangan rakyat, pihak eksekutif tetap akan melaksanakannya kerana merekalah yang meluluskan usul di dalam dewan.

Pelaksanaan dasar pengajaran subjek matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris adalah contoh nyata bagaimana kuasa yang berlebihan diberikan kepada pihak eksekutif. Rakyat tidak menyenangi dasar ini tetapi kerajaan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya masih ada golongan yang cuba mewujudkan sentimen perkauman.

Walaupun kedudukan badan kehakiman dilihat terasing dari badan eksekutif dan badan legislatif, namun masih ada tangan-tangan tersembunyi yang cuba mempengaruhi keputusan para hakim. Dalam kes pendakwaan Dato Sri Anwar Ibrahim (DSAI) misalnya, rakyat jelata sememangnya telah mengetahui bahawa DSAI akan didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara sebelum keputusan dibuat oleh hakim bicara. Sekiranya fakta ini benar, maka ketelusan hakim dalam memberikan keadilan terhadap rakyat diragui.

Hakim bicara kes DSAI dianugerahkan gelaran yang pelbagai selepas selesai perbicaraan kes tersebut. Kemungkinan untuk fakta ini benar adalah tinggi kerana hakim yang membuat keputusan yang bertentangan dengan hasrat dan kehendak kerajaan akan menerima akibat yang buruk. Kejadian yang menimpa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas adalah bukti nyata bahawa tidak adanya pengasingan kuasa dalam ketiga-tiga badan ini. Badan eksekutif yang juga menguasai badan legislatif akan bertindak ke atas badan kehakiman.

Bila kuasa berlebihan diberikan kepada suatu badan dalam kes Malaysia, badan eksekutif dan legislatif, maka tiada lagi badan lain yang dapat menahan atau mengimbangi kuasa yang ada pada badan tersebut. Malahan badan-badan ini akan cuba mempengaruhi dan menguasai perjalanan badan lain.

  • Perubahan yang perlu dilakukan.


Secara umumnya, konsep pengasingan kuasa ini sebenarnya tidak wujud di dunia. Pengamalan konsep ini tidak mengikut teori sepenuhnya. Konsep ini diperlukan dalam bidang-bidang kuasa tertentu sahaja dan tidaklah seperti yang dikatakan oleh Montesquieu. Jika teori ini diikuti sepenuhnya, maka kuasa yang diberikan kepada ketiga-tiga badan ini mestilah berbeza. Sepatutnya ketiga-tiga badan memainkan peranan masing-masing, tetapi jika lebih dari satu badan berada di bawah kawalan orang yang sama, keadilan sudah tidak dapat diwujudkan. Campurtangan badan legislatif dan eksekutif dalam badan kehakiman secara langsung menggambarkan keadilan tidak dapat diwujudkan dan ini akan mengakibatkan penderitaan kepada masyarakat.

Keadaan inilah yang berlaku dalam sistem pemerintahan Malaysia di mana golongan pembuat undang-undang juga adalah orang yang melaksanakan undang-undang. Walaupun ini nyata berlawanan dengan konsep pengasingan kuasa oleh Montesquieu tetapi asas teori ini menjadi garis panduan dalam melaksanakan konsep ini mengikuti citarasa Malaysia. Peredaran zaman memaksa Malaysia mencari jalan paling terbaik bagi disesuaikan dengan waktu dan keadaan yang sentiasa berubah-ubah. Tetapi kuasa berlebihan yang diberikan kepada kepada Perdana Menteri sebagai ketua dewan perundangan boleh mengundang penyalahgunaan kuasa.

Dalam kes penyiasatan ke atas Pengerusi Perwaja Steel iaitu Eric Chia, pendakwaan tidak dibuat sehingga sekarang walaupun Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapati ada kes untuk pendakwaan. Sekalipun BPR adalah badan bebas yang diberi kuasa untuk menyiasat penyelewengan dari segi rasuah dan penyalahangunaan kuasa tetapi dewan perundangan seringkali campurtangan dalam menentukan mana yang boleh didakwa dan mana yang tidak boleh.

Begitulah halnya dengan pentadbir awam. Mereka dilantik oleh badan-badan bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka ini dilarang bergiat aktif dalam mana-mana parti politik, dengan erti kata lain mereka hendaklah berkecuali. Menunjukkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan bukan kepada parti yang memerintah. Sekiranya kerajaan ingin menyekat penglibatan para pentadbir dalam politik, kerajaan hendaklah melarang samasekali sebarang jenis penglibatan samada dalam parti yang memerintah atau dalam parti pembangkang.

Pihak eksekutif sepatutnya menyedari bahawa mereka juga adalah sebagai pihak legislatif yang meluluskan undang-undang di dalam dewan. Undang-undang yang diluluskan mempunyai kedaulatan yang tinggi. Tetapi di dalam banyak hal, pihak eksekutif memandang mudah kepada undang-undang yang telah mereka lulus.

Contoh yang paling nyata di sini ialah campurtangan pihak eksekutif yanh juga ahli politik dalam mengawal mana-mana pentadbir awam yang diberi kuasa melaksana undang-undang. Bila mendapat tekanan dari pihak-pihak yang bersekepentingan, pihak eksekutif akan mengeluarkan arahan kepada jabatan-jabatan tertentu yang melaksana undang-undang supaya pelaksanaannya ditangguh. Lebih parah lagi, ahli badan eksekutif mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang tersebut akan diteliti semula.

Pihak eksekutif sepatutnya mengurangkan birokrasi dan campurtangan mereka agar keadilan kepada rakyat dapat dipenuhi dan undang-undang berjaya diangkat ke peringkat tertinggi.

Related Post

Previous
Next Post »

1 comments:

Write comments
October 10, 2016 at 6:44 PM delete

Mengapa sprm perlu mendapatkan krbenaran pihak berkuasa untuk mendakwa mereka yangbdidyaki bersalah?

Reply
avatar

Sila Komen Berkenaan Tajuk Ini, Komen Anda Berguna Buat Kami Sebagai Satu Wadah Pembuka Minda, Terima Kasih

Facebook Kami

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Mohon Untuk "Like" Facebook Minda Pengarang. Tq


Sokongan anda adalah sebagai pemangkin dan pemberi semangat kepada Admin untuk membuat posting isu-isu dan bahan ilmiah terbaru sebagai rujukan anda. sekian terima kasih.