Badan Eksekutif

Badan Eksekutif.

Secara ringkasnya eksekutif adalah badan ynag menjalankan pentadbiran bagi sesebuah negara. Ia juga merupakan institusi politik yang mula-mula sekali diwujudkan berbanding dengan institusi lain. Ia penting, kerana institusi merupakan asas bagi semua bentuk sistem politik dan kerajaan yang menentukan arah dan halatuju kemajuan sesebuah negara. Eksekutif negara adalah nadi segala kegiatan politik. Walaupun jumlah anggotanya kecil, peranan serta kegiatan yang dimainkan olehnya adalah begitu banyak sekali. Di samping itu segala kegiatan dan tindakannya mendapat perhatian rakyat dan mempengaruhi kehidupan semua lapisan masyarakat.

Secara umum, istilah eksekutif  bolehlah ditakrifkan sebagai ahli-ahli politik samada yang dilantik atau dipilih khas untuk menjalankan pemerintahan negara. Di Malaysia, badan eksekutif  dikenali sebagai kabinet yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri manakala Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai sebagai ketua negara. Bagi sesetengah negara yang mengamalkan sistem kerajaan secara republik, negara dan kabinet diketuai oleh seorang Presiden. Bidang kuasa bagi negara ini, adalah secara perseorangan. Ini bermakna Presiden mempunyai kuasa mutlak. Berkuasa melantik semua ahli badan pemerintahan serta berkuasa melantik, memilih dan menamatkan tempoh perkhidmatan ahli kabinet dan pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam.

Keadaan ini tentu berbeza dengan negara yang mengamalkan corak pemerintahan eksekutif secara berparlimen kerana dalam sistem ini pengagihan kuasa berlaku. Kuasa dijalankan secara berkumpulan walaupun perdana menteri diberi kuasa yang lebih. Antara perdana menteri dan ahli kabinet mereka menjalankan pemerintahan secara bersama. Perdana Menteri Malaysia dipilih dari ketua parti politik yang memenangi majoriti dalam pilihanraya. Tempoh bagi ahli eksekutif memegang kuasa dalam kabinet adalah terhad mengikut jangka masa pilihanraya. Di Malaysia setiap penggal pilihanraya adalah tidak melebihi lima tahun. Kebarangkalian untuk wakil-wakil rakyat dipilih semula menganggotai  kabinet adalah besar sekiranya mereka berupaya mendapat sokongan rakyat dalam pilihanraya seterusnya.

Walaupun ketua pemerintahan Negara Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong tetapi yang menjalankan kuasa eksekutif dan pentadbiran negara adalah ahli eksekutif yang terdiri daripada Perdana Menteri serta jemaah menteri. Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan menjalankan kuasa pemerintahan mestilah mengikut nasihat jemaah menteri, sungguhpun Perlembagaan Malaysia memaktubkan parlimen hendaklah diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di dalam membuat dan menggubal undang-undang, ketiga-tiga kuasa ini bertanggungjawab secara bersama-sama. Jelaslah di sini bahawa ahli badan eksekutif dan badan legislatif dijalankan oleh orang yang sama.

Secara umum, tugas badan eksekutif terbahagi kepada tiga iaitu:

i.                Mentadbir negara.
Ini merupakan tugas utama dan tugas ini tidak boleh dijalankan sewenang -wenangnya kerana ia  akan mengganggu pentadbiran negara. Pentadbiran negara dibahagikan kepada beberapa kementerian dengan setiap kementerian diketuai oleh seorang eksekutif. Bagi melicinkan lagi jentera pentadbiran, kementerian dipecahkan kepada beberapa jabatan yang mana ketua bagi setiap jabatan ialah pentadbir yang berkhidmat sebagai penjawat awam.

ii.         Perhubungan diplomatik.
Ketua eksekutif juga mewakili negara dalam mengadakan perhubungan dengan negara luar. Persidangan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa biasanya akan dihadiri oleh Ketua Eksekutif atau wakil-wakilnya bersesuaian dengan persidangan yang dihadiri. Merekalah yang akan membincangkan masalah dunia atau masalah serantau. Perlembagaan begini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan politik malahan dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.

iii.        Badan pengampun.
Fungsi ini sebagai jalan terakhir bagi pesalah-pesalah yang biasanya menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup untuk mendapatkan keampunan. Di Malaysia, misalnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kesalahan seseorang.




[i] Pada tahun 1983, misalnya, Yang di-Pertuan Agong telah meringankan hukuman mati yang dihadapi oleh Datuk Mokhtar Hashim kepada hukuman penjara seumur hidup sahaja. Pengampunan ini dibuat atas nasihat Perdana Menteri.

Related Post

Previous
Next Post »

Sila Komen Berkenaan Tajuk Ini, Komen Anda Berguna Buat Kami Sebagai Satu Wadah Pembuka Minda, Terima Kasih

Facebook Kami

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Mohon Untuk "Like" Facebook Minda Pengarang. Tq


Sokongan anda adalah sebagai pemangkin dan pemberi semangat kepada Admin untuk membuat posting isu-isu dan bahan ilmiah terbaru sebagai rujukan anda. sekian terima kasih.